Thursday, June 6, 2013

DR. AZIZAN ISMAIL: PENERAJU KEUSAHAWANAN PERUBATAN HOMEOPATI DI MALAYSIA
[Malaysian Homeopath and Entrepreneurs : Dr. Azizan Ismail (1949 – 2007)]
- Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
Dr. Azizan merupakan seorang tokoh homeopati yang terkenal di Malaysia. Beliau dilahirkan di Bukit Besar, Kedah pada 1 Mac 1949 dan mempunyai 11 orang anak. Beliau merupakan seorang pendidik yang berjaya sebelum melibatkan diri dalam perubatan homeopati dan menceburkan diri sebagai usahawan.
          Bermula pada tahun 1976 sehingga 1980 beliau belajar homeopati dari Dewan Perubatan Homeopati Singapura. Kemudian memperoleh Doctor of Homeopathy dari Brantridge Forest School Sussex, England. Beliau juga mendapat Doktor Falsafah dari Open International University, Sri Lanka dan pelbagai anugerah berprestij yang jarang diperoleh oleh kebanyakan pengamal homeopati di Malaysia.
          Beliau pernah membawa rombongan pengamal homeopati membuat lawatan sambil belajar ke Eropah pada tahun 1985. Dalam lawatan itu, banyak makmal, kilang dan farmasi homeopati yang dilawati termasuk Welada Lab Ltd., Nelson Pharmacy dan Boiron Laboratories.  Lawatan itu bukan saja membuka jalan baru dalam kerjaya beliau malah memberi banyak input kepada sekalian rombongan yang mengikuti beliau.
          Sebagai usahawan, beliau menapak maju dengan tertubuhnya beberapa syarikat yang dimiliki, khususnya Sistem Era Edar Sdn Bhd. Selain itu beliau dikenali kerana kejayaannya menubuhkan Kolej Homeopati Malaysia yang menawarkan kursus Diploma Homeopathy dan kilang homeopati yang dikenali sebagai Homeofarma Sdn Bhd. (Kini Darulaman Homoeopathic Laboratories Sdn. Bhd.)
           Di antara produk homeopati popular hasil rumusan beliau ialah Examo, Salindah, Asmakur dan beberapa jenama yang menjadi bualan dan digemari ramai. Kilang dan syarikat beliau juga ada mengeluarkan produk pemakanan berasaskan biokimia dan homeopati seperti minuman, susu Bio-lac,  Growell dan lain-lain. 
         
           AlhamduliLlah, penulis sempat bertemu beliau pada tahun 1997 selepas menerbitkan buku 'Perubatan Homeopati' dan kemudian bertemu lagi di seminar AHML anjuran MRHP di bawah kelolaan Dr. Nik. Omar ketika ianya berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu. Beliau merupakan seorang yang mudah didekati dan banyak nasihat peribadi yang diberikan beliau kepada penulis. 
             Kita kehilangan seorang tokoh besar apabila Dr. Azizan Ismail dilaporkan kembali ke rahmatuLlah pada 3 Mei 2007.
Sumber:
1. Buku Profil Dr. Azizan Haji Ismail. Sistem Era Edar: Kita Bina Masa Depan Bersama.
2. Md Fauzi Ghazali. Meninjau Kembali Perkembangan Homoeopathy Di Eropah. Majalah Perubatan Homeopathy, Bil. 2, 1986. PPHM (Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia).
 
-  diedit semula pada 7 September 2011 oleh www.drhatta.com.
 
   
Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
drhatta3@yahoo.com


English/Synopsis: Dr. Azizan Ismail was a brilliant and good homeopath in his time. He was also a very dedicated and successful entrepreneurs. He is, in fact, the first homeopath to achieve a millinoaire status in a very short time.  – Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
.[The history of homoeopath in Bahasa Malaysia (Malay language) is a project dedicated to earlier Malaysian homeopath with significant contribution to the spread of  homeopathy.]